26 Sept 2013 (10.21 pm)
apa yang saya cerita ini bukan untuk menunjuk2 tetapi saya ada terbaca 1 kisah di mana orang yang bergaji rm2300 sebulan cakap tidak mampu beli rumah di kawasan KL, saya hanya tersenyum sebab dengan gaji sebegitu saya mampu beli apartment di shah alam yang berharga RM269 000, tapi ada caranya.
semoga apa yang saya sampaikan di sini jadi pedoman untuk belia yang hidup di kawasan KL atau lembah klang.
Saya start kerja umur 23 (kalau tak silap) dengan gaji hanya RM1000, setelah ditolak kwsp hanya tinggal RM800++ sahaja, saya terima kerja tersebut mengenangkan saya tiada pengalaman langsung sedangkan saya tahu di waktu itu kalau fresh grad gaji permulaan dalam lingkungan RM1600, tapi pada hari pertama kerja saya niat saya mahu kerja, naikkan taraf keluarga dan beli rumah. Saya hanya tersenyum bila ada fresh grad yang kata susah nak cari kerja. Apa yang saya mahu kata mula-mula keluar university/kolej, kerja laa apa2 yg halal, cari pengalaman dahulu, lama-lama kerja, gaji akan naik setanding pengalaman kerja.
Maka, saya simpan separuh dari gaji sebanyak RM500, 4 tahun saya kerja dengan hanya bergaji RM1000, tapi saya kerja bersungguh-sungguh, saya tidak merungut walaupun buat kerja yang bukan kerja saya, bos pernah suruh saya scan dokumen, saya buat tanpa banyak cerita sebab saya sedar saya hanya junior. Kadang-kadang rasa down jugak sebab kerja sampai pukul 12 tgh malam, kadang-kadang tidur di office tapi gaji dibayar tidak seberapa, tapi saya cakap dulu sebelum kerja saya hidup susah daripada ini. Keluarga saya adalah keluarga yang kalau makan nasi ala kadar, kalau beras habis, 2/3 minggu hanya makan betik yang direbus atau makan nasi campur ubi kayu. Pada ketika ini dengan gaji walaupun hanya RM1000 sebulan, saya makan nasi hari-hari, maka saya sangat bersyukur.
Setelah 4 tahun kerja gaji saya naik jadik RM1600, niat untuk beli rumah masih ada, walaupun bergaji sebegitu membuatkan saya mampu beli kereta tapi saya pendamkan sebab separuh gaji saya mahu simpan untuk beli rumah, saya rasa pelik orang muda sekarang dapat kerja je terus beli kereta, sebab kalau rumah jauh, cari laa bilik yang dekat dengan tempat kerja, so tak de kos pengangkutan atau kosnya sangat minima. Saya sanggup pergi kerja naik bas, tunggu bas sampai 1 jam lebih, bersesak2 dengan org dalam bas, berdiri di pintu bas kalau orang ramai, dan saya pernah jalan kaki 1 jam daripada rumah ke tempat kerja semata2 nak jimatkan duit, tak mau naik bas/teksi, saya cakap pada diri saya tidak akan beli kereta selagi duit deposit untuk rumah tidak cukup. Tapi belia zaman sekarang sanggup beli kereta untuk keselesaan sendiri pergi kerja dan cakap duit tak cukup untuk beli rumah.
Saya adalah orang yang sanggup bersusah dahulu, untuk kesenangan masa hadapan, tapi orang muda zaman sekarang anggap kalau naik bas low class, susah, leceh, so beli kereta adalah langkah paling senang tapi mereka tidak sedar kos untuk beli kereta sebenarnya boleh disimpan untuk mendapat rumah idaman.
Setelah 5 tahun kerja baru gaji saya naik jadik rm2300,umur saya 27 tahun, masa itu saya rasa mampu untuk mencari sebuah rumah/apartment. Duit simpanan pun cukup utk bayar deposit 10%, sebab saya kerja swasta maka deposit itu mesti disediakan. KWSP hanya boleh dikeluarkan RM5000 sahaja. Saya tidak pernah buat personal loan, car loan atau pun gunakan credit card, maka bila buat loan bank, loan saya lepas, saya beli apartment di shah alam berharga rm269000. Niat mahu beli rumah teres tapi saya tidak mampu sebab pada masa itu rumah teres mencecah RM 400 000 dan saya tidak mahu beli rumah jauh di pedalaman yang susah untuk dapatkan public transport.
Akhirnya saya bersyukur saya dapat beli rumah setelah susah payah saya lalui, lepas itu baru saya start cari kerja yang dekat dengan shah alam, dan cari sebuah kereta untuk keselesaan pergi ke tempat kerja dan bawak keluarga jalan-jalan naik kereta. Sekarang pun saya sewakan semua bilik di dalam rumah kecuali bilik yang saya duduk, so boleh cover loan bank bulan-bulan sebab saya masih ada niat untuk beli rumah teres idaman.
Untuk orang di luar sana, anda boleh beli rumah tapi ada pengorbanan yang anda perlu lalui, usah salahkan kerajaan semata-mata tanpa diri sendiri yang berusaha untuk dapatkan. Memang harga rumah makin mahal, saya pun mengharapkan kerajaan akan kekang sebab orang yang kaya akan semakin kaya, kita yang miskin makin susah nak dapatkan rumah, susah nak dapatkan kerja, tapi apa yang kita boleh buat di masa ini? Caranya ialah hidup biar susah untuk kesenangan kemudian hari.
Beli baju untuk keperluan, bukan dapat gaji terus beli baju, handbag sahaja, sebab bagi saya kalau saya dah kawin, saya nak simpan duit utk pelajaran anak-anak nanti, so tak perlu bergantung pada duit kerajaan untuk pinjaman pelajaran, nak beli tanah untuk anak-anak.
Saya kesian pada mereka yang bergaji rendah, dan tak mampu nak dapatkan rumah untuk diri sendiri, adik saya adalah contohnya, dia hanya kerja kerani yang bergaji RM700 sebulan tapi dia sanggup tinggalkan kehidupan di KL ini, kembali ke kampung dan menjual kuih secara kecil-kecilan, sekarang bukak kedai dengan modal sendiri yang kecik tanpa mengharapkan duit pinjaman kerajaan untuk bukak kedai. Yang penting usaha tangga kejayaan, dia pun jenis berjimat dan tidak menggunakan kereta, nak ke mana-mana pun naik bas, saya nampak dia start daripada modal kecik dan sekarang perniagaan semakin berkembang. Lupa mahu bagitau adik saya adalah seorang OKU sebab kurang pendengaran dan penglihatan, orang mungkin tidak nampak kekurangan itu, tapi dia berusaha untuk menaikan taraf hidup dia.
Apa yang saya nampak di zaman ini, orang kumpul duit untuk hantaran kawin sampai 20 ribu, sedangkan kalau nak buat kenduri kawin yang simple tanpa perlu jemput ramai org sampai 1000 org, tanpa pelamin, baju kawin grand2, saya rasa rm5000 cukup untuk beli barang mentah, dan upah orang masak, duit balance boleh buat bayar deposit rumah, bukan ke kawin yang senang itu lebih baik daripada buat personal loan utk dapatkan kenduri kawin yang grand.
Apa yang saya nampak, orang spend sampai rm15 satu hari utk makan, sedangkan untuk makan nasi berlauk kurang daripada rm6, minum air masak sahaja, atau bawak air daripada rumah, pagi boleh breakfast yang simple, beli biskut atau roti, tak perlu makan nasi lemak sampai rm3 , malam plak boleh masak sendiri untuk jimatkan kos.
Apa yang saya Nampak, gaji rm2300 sudah beli kereta yang kena bayar ansuran bulanan rm600 atau lebih, org zaman skrg tidak sanggup bersesak2 naik public transport. Sedangkan duit ansuran kereta itu boleh disimpan untuk deposit rumah.
Saya calculatekan kalau anda bergaji RM2300
Gaji RM2300
Gaji bersih RM2100
Simpan RM 1000
Sewa bilik RM300
Makan RM10 sehari = RM70 seminggu = RM280
Bagi emak/abah RM 420
Duit beli barang personal/tengok movie/jalan-jalan RM100
Tanpa beli kereta, selama 3 tahun anda boleh simpan RM36000
Maka selepas 2 atau 3 tahun bekerja anda boleh beli sebuah rumah yang kecik dahulu, beli kereta sbb lepas 3 tahun sure gaji akan naik lagi, kawin setahun lepas itu, lepas kawin gaji sendiri campur gaji husband boleh beli rumah idaman, rumah yang dibeli sebelum kawin boleh disewakan sebagai pasif income atau boleh jual semula.
Apa-apa pun tepuk dada tanya selera, apa yang anda mahu? Saya berikan cara, anda yang perlu tempuhi segala cabaran untuk lalui semua ini.